Wednesday, July 9, 2008

My article in MNS Tapir Bulletin (June 2008)

(Seagrass of Merambong Shoals - (38 ha of seagrass bed) that lies between Johor and Singapore near the Second Link at Johor Straits)

Hi, see you again. Below is my article that being published in 2008 second issue of Tapir Bulletin (June 08), a Malaysian Nature Society bulletin for its School Nature Club members. The article is about seagrass bed and its living things. In this article, I had discussed about seagrass, seahorses and dugong.

The article is as follows:-

ref: Hashimi. I. (2008). Dataran rumput laut dan hidupannya.Buletin Tapir 2 : Jun 08 Malaysian Nature Society, Kuala Lumpur.

*************************************************************************************

Ditulis oleh: Hashimi Bin Ismail
Bac. Sc. (Sains Samudera), Dip. Ed.
(Koordinator Pendidikan MNS Negeri Terengganu)


DATARAN RUMPUT LAUT DAN HIDUPANNYA

Malaysia dikurniakan dengan kekayaan persekitaran marin yang sangat pelbagai. Perairan marin tropika Malaysia yang terdiri daripada Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut Sulawesi adalah merupakan habitat kepada pelbagai ekosistem. Terumbu karang, hutan paya bakau, dataran rumput laut, muara, dataran lumpur, pulau-pulau luar pantai dan laut luas adalah contoh-contoh ekosistem tersebut. Perairan laut ini menjadi habitat untuk pelbagai organisma marin yang terancam seperti penyu agar, penyu karah, dugong, ikan yu paus dan kuda laut. Penulisan ini akan membincangkan tentang dataran rumput laut serta dua spesies haiwan marin terancam iaitu dugong dan kuda laut.


EKOSISTEM RUMPUT LAUT

Malaysia yang terletak di kawasan tropika telah dianugerahkan dengan pelbagai ekosistem. Oleh itu, tidak hairanlah Malaysia merupakan antara 12 buah negara megadiversiti di dunia. Salah satu ekosistem tersebut ialah ekosistem rumput laut. Rumput laut merupakan satu-satunya tumbuhan angiosperma (tumbuhan berbunga) yang tumbuh di dalam air masin. Rumput laut beradaptasi untuk hidup di kawasan yang dipengaruhi oleh persekitaran fizikal, kimia dan biologi perairan persisir pantai. Tumbuhan ini mempunyai bunga, buah dan bijinya yang tersendiri dan biasanya tumbuh di kawasan dataran berlumpur dikenali sebagai dataran rumput laut. Dataran rumput laut merujuk kepada kawasan marin air masin atau kawasan berair payau yang ditumbuhi oleh hanya sejenis rumput laut atau campuran pelbagai spesies rumput laut.

Pengkelasan
Dianggarkan terdapat lebih kurang 67 spesies rumput laut di seluruh dunia dan tidak kurang 16 spesies daripadanya boleh didapati di Malaysia. Ia tergolong dalam famili Hydrocharitaceae, Cymodoceaceae dan Potamogetonaceae. Di antara spesies rumput laut yang terdapat di Malaysia ialah Enhalus acoroides, Halophila spinulosa, Halophila ovalis, Thalassia hemprochii, Cymodocea serrulata dan Halophila beccarii.


(A seagrass fruit at Merambong Shoals)

Ekologi
Tumbuhan marin yang unik ini dikenali dengan daunnya yang panjang, bulat bujur atau halus dan selalunya berwarna hijau. Disebabkan oleh rumput laut mesti menjalankan proses fotosintesis, mereka hanya terhad di kawasan zon fotik iaitu kawasan laut yang cetek yang dapat menerima cahaya matahari. Pendebungaan dan kitaran hidup rumput laut berlaku sepenuhnya di dalam air. Kebiasaannya, substrat di mana rumput laut tumbuh adalah sama ada kawasan berpasir atau berselut lumpur. Rumput laut ini berperanan mengubah aliran air dan membantu mengurangkan kesan pencemaran nutrien dan sedimentasi manakala akar dan rizomnya menstabilkan sedimen dasar laut. Pemerangkapan dan penstabilan sedimen dasar seterusnya menyebabkan air laut di kawasan dataran rumput laut menjadi jernih. Ini akan meningkatkan kadar kemasukan cahaya matahari, menyebabkan proses fotosintesis meningkat lalu meninggikan kadar produktiviti di kawasan tersebut.

(Sea Lettuce, Sea Cucumber and Sea Fan of Merambong Shoals)

Dataran rumput laut merupakan satu ekosistem berkepelbagaian biologi yang tinggi. Ia berfungsi sebagai kawasan perlindungan dan menjadi habitat kepada pelbagai haiwan marin di samping menjadi punca kepada rantai makanan terutamanya untuk dugong, ikan, ketam dan landak laut.(A Ball Sea Cucumber of Merambong Shoals)


Secara ringkasnya, rumput laut membekalkan zon persisir pantai dengan peranannya sebagai kawasan perikanan, melindungi daripada kuasa ombak, penghasil oksigen dan menghalang berlakunya hakisan pantai.

(A Noble valute of Merambong Shoals)

Ancaman

Rumput laut adalah terdedah kepada banyak ancaman, sama ada yang bersifat semulajadi atau antropogenik. Aliran nutrien dan sedimen daripada aktiviti manusia di daratan memberi impak kepada rumput laut di seluruh dunia. Pemendakan nutrien dan sedimen secara berlebihan akan menyebabkan berlakunya kekurangan cahaya matahari yang sampai ke dasar kawasan persisir pantai.

Ancaman secara terus kepada rumput laut adalah daripada aktiviti bot, tebus guna tanah, pembinaan di kawasan persisir, pengorekan tanah dasar dan perlaksanaan aktiviti menangkap ikan yang merosakkan. Pemanasan global juga memberi impak kepada rumput laut hasil daripada kenaikan aras laut dan ribut yang kerap berlaku.

Pemuliharaan

Ekosistem rumput laut adalah penting untuk pelbagai sebab sama ada ekologi atau ekonomi. Sehubungan dengan itu, adalah wajar kawasan ini dipulihara. Dataran rumput laut adalah sensitif kepada sebarang perubahan pada corak pengangkutan sedimen. Oleh itu, perancangan untuk membangunkan kawasan pesisir pantai yang boleh memberi impak kepada ekosistem rumput laut patut diperhalusi sebaik-baiknya. Ini kerana dataran rumput laut dan fauna yang ada di persekitarannya adalah sensitif kepada bahan pencemaran tertentu, terutamanya racun rumpai, sisa buangan industri, dan sisa kumbahan.

Akhirnya, kawasan dataran rumput laut yang luas sepatutnya dijadikan taman negeri atau taman negara bagi memastikan pemuliharaan jangka panjang bagi rumput laut dapat dijalankan.


KUDA LAUT

Kuda laut adalah sejenis ikan dari genus Hippocampus. Terdapat lebih kurang 34 spesies kuda laut yang ditemui di perairan pesisir dan kawasan terumbu karang di lautan tropika dan subtropika di seluruh dunia terutamanya kawasan berkedalaman di antara 0.5 hingga 30 meter.

Kuda laut adalah spesies yang unik kerana kuda laut jantan mengandungkan anak. Apabila matang, kuda laut jantan akan menghasilkan kantung di bahagian bawah perutnya. Pembiakan berlaku apabila kuda laut betina memasukkan ovipositor (organ pembiakan betina) dan melepaskan telurnya ke dalam kantung kuda laut jantan. Kuda laut jantan kemudiannya mensenyawakan telur-telur tersebut dan terlekat pada dinding kantung. Cecair plasenta pada kantung mengeluarkan sisa buangan dan membekalkan oksigen dan nutrien kepada telur. Semasa proses ‘mengandung’ ini, cecair plasenta adalah hampir sama dengan air masin di persekitaran. Ini menghalang anak-anak kuda laut daripada mengalami kejutan semasa ‘dilahirkan’. Selepas 20 hingga 28 hari kuda jantan mengandung, anak kuda laut akan dilahirkan pada waktu malam terutamanya semasa bulan penuh dan dikeluarkan daripada kantung kuda laut jantan. Anak-anak kuda laut ini bebas sepenuhnya dan tidak bergantung kepada induk mereka sewaktu membesar. Pada awal pembesaran, anak-anak kuda laut ini adalah bersifat pelagik atau melekatkan diri pada sebarang objek terapung dengan ekor mereka. Kuda-kuda laut ini akan membesar dengan saiz badan bergantung kepada jenis spesiesnya dengan panjang dari mulut ke ekornya di antara 13.3mm sehingga 35cm. Kuda laut boleh mencapai umur sehingga 4 tahun.

(A Pipefish of Merambong Shoals)

Kuda laut mempunyai sirip dorsal yang yang terletak di bahagian bawah badan dan sirip pektoral yang terletak di belakang kepala berdekatan dengan insang. Mereka mempunyai sepasang mata yang boleh digerakkan sekeliling untuk memerhatikan musuh dan makanan mereka tanpa perlu menggerakkan badan. Kuda laut mempunyai bahagian mulut yang digunakan untuk menyedut mangsanya yang terdiri daripada krustasea kecil. Makanan yang disedut ini terus dimasukkan ke dalam saluran makanan kerana kuda laut tidak mempunyai gigi. Sirip kuda laut adalah kecil untuk memudahkan mereka bergerak di celah-celah tumbuhan marin yang tebal, contohnya rumput laut. Kuda laut mempunyai ekor yang panjang, dengan hujungnya boleh dibengkokkan melingkungi sebarang sokongan seperti rumput laut untuk mencegahnya daripada dihanyutkan arus.

(A pregnant male sea horse of Merambong Shoals)

(Female sea horse of Merambong Shoals)

Ancaman

Kuda laut tidak mempunyai banyak musuh semulajadi kerana mereka berjaya ‘menyamar’ dengan suasana persekitaran. Walaubagaimanapun, aktiviti manusia memberi kesan kepada kuda laut. Populasi kuda laut telah mengalami pelbagai ancaman terutamanya kehilangan habitat dan penangkapan yang tidak mapan. Rumput laut yang menjadi habitat semulajadi kuda laut kini turut terancam akibat sedimentasi berlebihan, pencemaran terma (haba) dan kimia.
Kuda laut banyak digunakan dalam perubatan tradisional China. Dianggarkan sehingga 20 juta ekor kuda laut telah ditangkap setiap tahun untuk tujuan ini. Selain itu, mereka juga didagangkan sebagai haiwan akuarium. Kuda laut juga kadangkala secara tidak sengaja tertangkap di dalam pukat tunda nelayan.


Pemuliharaan

Keperluan utama bagi sebarang usaha pemuliharaan kuda laut adalah keperluan kepada penyelidikan berterusan. Bagi memastikan pemuliharaan spesies kuda laut ini, sifat biologinya, ekologinya, habitatnya dan populasinya serta ancaman wajar diberi perhatian.
Pada bulan November 2002, semua kuda laut telah disenaraikan di dalam ‘Apendiks II Konvensyen bagi Perdagangan Antarabangsa Species Terancam (CITES)’ Ini bermakna sebarang perdagangan kuda laut mestilah diaturkan secara mapan untuk memastikan kemandirian spesies kuda laut ini. Selain itu, organisasi pemuliharaan kuda laut melalui ‘Project Seahorse” telah ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai tindakbalas kepada tekanan yang dihadapi oleh semua kuda laut di dunia. Bagi Malaysia, usaha pemuliharaan kuda laut pada masa ini telah diusahakan oleh saintis Universiti Malaysia Terengganu melalui projek ‘Save our Seahorses’.

Contoh Pengkelasan Taksonomi Kuda Laut
Kingdom: Animalia
Filum: Chordata
Subfilum: Vertebrata
Kelas: Actinopterygii
Order: Syngnathiformes
Famili: Syngnathidae
Genus: Hippocampus
Spesies: Hippocampus kuda



DUGONG

(Dugong mencari makanan di dasar laut - http://www.greenpeace.org)

Dugong (Dugong dugon) adalah mamalia marin yang menghabiskan seluruh hidupnya di laut. Ia tersebar luas di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Kadangkala dugong ditemui di kawasan perairan yang terlindung dari ombak dan arus yang kuat. Walaupun kajian mengenai Dugong banyak dijalankan di Australia, Dugong juga dijumpai di kawasan tenggara pantai Afrika, Madagaskar, Semenanjung Arab, India, Thailand, Malaysia, Indonesia, Papua-New Guinea, Filipina dan Jepun.

(Dugong - http://www.animals.nationalgeographic.com)

Dugong hidup sebagai haiwan yang memakan rumput laut. Panjang dugong dianggarkan sehingga 3 meter dan beratnya boleh mencapai sehingga 900 kg. Dugong berenang di kawasan berdekatan permukaan perairan dan sesekali menyelam pada dasar perairan. Pola renang dugong adalah unik dengan pergerakan yang lambat dengan menggerakkan ekornya ke atas dan ke bawah dan sesekali muncul pada permukaan perairan untuk mengambil udara. Dugong mempunyai rerambut yang tumbuh di sekitar mulut yang membantunya dalam usaha mencari makanan.

Dugong umumnya berhijrah pada tempat-tempat tertentu untuk mencari makan dan tersebar di kawasan-kawasan tropika dunia. Penyebaran dugong ini umumnya sangat bergantung kepada kawasan perairan yang mempunyai sumber makanannya yang berupa pelbagai jenis rumput laut seperti Halodule sp., Halophila sp. dan Syringodium sp. daripada famili Potomogetonaceae and Hydrocharitaceae. Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa Dugong kadang-kala memakan alga dan ketam sebagaimana yang telah dijumpai di dalam beberapa perut Dugong.

Proses pembiakan dugong berlaku sepenuhnya di laut. Dugong mempunyai tempoh mengandung selama 13 bulan manakala jarak di antara satu kelahiran dengan satu kelahiran yang lain adalah di antara 3 hingga 7 tahun. Dugong akan sentiasa berenang dengan anaknya bagi memastikan keselamatan daripada ancaman bahaya. Dugong menjaga dan menyusukan anaknya sehingga umur 2 tahun. Dugong mencapai ukuran dewasa setelah berumur 9 tahun dan mampu hidup sehingga umur 20 tahun. Walaubagaimanapun, terdapat laporan yang menyatakan Dugong dapat hidup sehingga 70 tahun.

Ancaman


Dugong adalah diancam dengan kehilangan habitat dan lain-lain kesan persekitaran. Mereka diburu untuk daging, minyak, kulit, tulang dan gigi yang digunakan untuk membuat bahan ukiran menjadi gading palsu dan arang untuk industri gula. Terdapat juga masyarakat Asia yang menjadikan hasilan Dugong untuk tujuan perubatan.


Pemuliharaan

Dugong disenaraikan sebagai haiwan sangat terancam di dalam IUCN, sebuah badan dunia yang memulihara alam sekitar manakala di bawah CITES, ianya diletakkan pada Apendik I kecuali di Australia yang diletakkan pada Apendik II. Bagi Malaysia, Dugong dilindungi di bawah Akta Perikanan.

Contoh Pengkelasan Taksonomi Dugong
Kingdom: Animalia
Filum: Chordata
Subfilum: Vertebrata
Kelas: Mammalia
Order: Sirenia
Famili: Dugongidae
Subfamili: Dugonginae
Genus: Dugong
Spesies: Dugong dugon MÜller, 1776



Rujukan:

1. Ong, J.E. and W.K. Gong. (eds.), 2001. The encyclopedia of Malaysia: The Seas. Archipelago Press.
2. Benjamin, L. 2006. Not a whisper as they go the seahorses of Johor. Malaysian Naturalist 60-2, pg 42-45
3. http://en.wikipedia.org/wiki/Seahorse
4. http://www.dkp-banten.go.id/news/?p=37
5. http://en.wikipedia.org/wiki/Dugong
6. http://www.sirenian.org/dugong.html
7. http://animaldiversity.ummz.umich.edu/site/accounts/information/Dugong_dugon.html.
8. http://animals.nationalgeographic.com/animals/enlarge/dugong_image.html
9.http://oceans.greenpeace.org/en/photo-audio-video/photos/dugong-feeding-at-the-seabed


**********************************


Note: For more details on Malaysia seagrass distribution, please surf this website:

http://www.dmpm.nre.gov.my/form/seagrass_distribution_in_msia.pdf


















No comments: