Monday, October 6, 2008

Ragam manusia di jalan raya

Musim perayaan kembali lagi....kali ini Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1429H....walaupun telah memasuki hari ke-6 bulan Syawal, suasananya masih lagi terasa. Coretan ini walaubagaimanapun tidak akan membincangkan bagaimana perayaan ini disambut, tetapi tabiat, ragam dan tingkahlaku sebahagian warga Malaysia yang ditunjukkan di atas jalan raya semasa musim perayaan ini, berdasarkan apa yang dilihat semasa saya memandu untuk pulang ke kampung.

Raya tahun ini saya pulang ke kampung isteri di Felda Bukit Bading, Terengganu dan juga ke kampung saya di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Nampaknya kempen yang dijalankan oleh kerajaan berkaitan keselamatan di jalan raya tidak diambil peduli oleh sebahagian dari warga Malaysia. Masih terdapat pemandu-pemandu yang memotong barisan dan memotong kenderaan dari sebelah kiri (memasuki bahu jalan) semasa kesesakan jalan raya (10 km perjalanan, masa diambil hampir 1 jam setengah) di kawasan Tanah Merah, Kelantan hari raya ke-2; menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar (perkara biasa di banyak tempat); memandu perlahan di lorong memotong (lorong paling kanan) di lebuh raya PLUS; membuang sampah dari kereta di atas jalan (nasib baik kulit buah-buahan, tapi ini bukanlah tabiat yang patut dicontohi); buang botol kaca minuman pemberi tenaga di atas lebuh raya PLUS (atas laluan paling kanan) di sekitar Bukit Berapit; membuat pusingan U (bukan di tempatnya) semasa kereta dari arah bertentangan (kereta sayalah tu) tidak jauh dari kenderaan tersebut (lepas buat pusingan U, pandu perlahan pulak, lepas tu belok kanan balik dengan jarak dari tempat buat pusingan U tersebut tak sampai pun 50 meter; nasib baik sempat brek, tension betullah, kes ini di Baling) dan pelbagai kesalahan lagi. 

Beberapa kemalangan jalan raya juga dapat disaksikan di sepanjang perjalanan, antaranya kereta MPV import terbabas dan melanggar paip air di Sg Tong, Terengganu dan terus tersadai di tepi parit; beberapa kes kemalangan motosikal (mangsa masih di tepi jalan; nasib baik ada yang prihatin membantu, di jalan Baling-Kulim) .

Sebenarnya tabiat-tabiat ini boleh dihentikan sekiranya semua daripada kita mempunyai kesedaran, baik kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan di jalan raya (untuk diri sendiri ataupun orang lain) mahupun tentang peri pentingnya menjaga alam sekitar. Sesungguhnya ianya bermula dari kesediaan untuk berubah, kerana ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!!! 

No comments: