Saturday, July 10, 2010

Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong

Latar belakang:

Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong, Selangor seluas 1,167.1 hektar adalah merupakan sebahagian hutan simpan yang paling awal diwartakan di Negeri Selangor iaitu pada tahun 1906. Kawasan ini yang merangkumi Kompatmen 1, 12, 13, 14, dan 15 merupakan satu-satunya hutan pamah dipterokarp yang masih wujud dalam keadaan sempurna di kawasan Lembah Kelang dan Putrajaya. Hutan Simpan Ayer Hitam terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah dan dianugerahkan secara perjanjian jangka panjang selama 80 tahun mulai 1996 oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Universiti Putra Malaysia untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, dan pengembangan perhutanan.

Lokasi:

Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong terletak lebih kurang 20 kilometer dari Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor dan 45 kilometer dari Kuala Lumpur. Hutan simpan ini dikelilingi oleh kawasan pembangunan yang pesat. Di sebelah utara ianya disempadani oleh Bandar Kinrara, di sebelah barat dan timur disempadani oleh projek perumahan, manakala bahagian selatan berhampiran dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya dan Cyberjaya.

Flora:

Hutan Simpan Ayer Hitam merupakan hutan yang pernah dibalak dan dalam proses pemulihan. Ia merupakan satu ekosistem terserpih yang kaya dengan pelbagai tumbuhan. Berdasarkan kajian, HSAH mempunyai 127 spesies daripada 36 famili iaitu 30% daripada jumlah spesies pokok yang terdapat di Malaysia. Kajian juga mendapati terdapat sebanyak 33 spesies dari 13 famili rumpai, 43 spesies dari 9 famili lumut, 7 spesies palma, 8 spesies rotan, 98 spesies dari 53 famili tumbuhan ubatan, 4 spesies buluh dan 29 spesies pokok buah hutan.

Fauna:

Hutan Simpan Ayer Hitam amat kaya dengan kepelbagaian faunanya. Maklumat yang diperolehi menunjukkan terdapat lebih 160 spesies burung daripada 38 famili. Tiga famili yang paling besar yang mewakili hampir 24 peratus daripada keseluruhan spesies ialah Timalidae, Cucurlidae dan Pycnonotidae. Bagi kumpulan mamalia pula, hutan ini mempunyai lima spesies primat besar dari genus lotong, ungka, beruk dan kera. Kajian juga merekodkan sebanyak 14 spesies mamalia kecil termasuk 10 genera dari lima famili dan 3 order. Spesies tersebut terdiri daripada enam tikus, empat tupai, tiga insektivor dan satu spesies primat. Bagi spesies kelawar sejumlah 13 spesies telah dijumpai. Selain itu, terdapat juga 10 spesies reptilia, 18 spesies amfibia, dan 10 spesies ikan.


(sumber: Brosur Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong, Selangor oleh UPM)